Kekal Cergas di Bulan Ramadhan

  Kita tidak seharusnya alpa dan lalai dalam mengambil berat tentang aspek penjagaan kesihatan diri kita. Alasan berpuasa tidak seharusnya membolehkan kita menjadi malas seperti hanya duduk di depan televisyen dan menghabiskan masa di siang hari dengan tidur.  Jika kita tidak mengambil berat tentang aspek pemakanan ia sedikit sebanyak akan menyebabkan kita terdedah kepada pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, penyakit jantung, risiko menjadi obesiti dan lain-lain lagi

  Walaupun sedang berpuasa, kita juga boleh terus kekal cergas dengan melakukan aktiviti fizikal dan senaman ringan bergantung kepada keupayaan seseorang individu itu. Bulan puasa tidak boleh dianggap sebagai bulan untuk berehat dari melakukan aktiviti-aktiviti berbentuk kecergasan Waktu yang paling ideal untuk kita bersenam di bulan puasa sebenarnya bergantung kepada keselesaan dan kesesuaian masa individu itu sendiri. Namun begitu waktu petang sebelum berbuka puasa adalah masa yang paling sesuai. 

Ini kerana kekurangan cecair yang diperlukan akan dapat diganti semula sejurus selepas waktu berbuka puasa. Aktiviti senaman ringan seperti berjalan pantas dan berbasikal sudah memadai untuk membantu membakar lemak di dalam badan. Bagi yang lebih berkeupayaan atau mereka yang biasa bersukan, mereka boleh teruskan dengan rutin riadah harian mereka asalkan tidak memudaratkan dan mendorong kepada keinginan untuk berbuka puasa sebelum waktunya. 

  Kita harus lebih berhati-hati ketika melakukan senaman di bulan puasa bagi mengelakkan daripada ”dehydration”. Keadaan ini mudah terjadi kerana badan kita kekurangan cecair yang diperlukan disebabkan berpuasa. Ditambah pula dengan peluh yang terhasil akan menyebabkan kita mudah terdedah kepada situasi yang berisiko ini. Antara simptom-simptom ’dehydration’ ialah pening, penglihatan menjadi kabur dan air kencing pekat.
Sebelum kita melakukan aktiviti senaman dan bersukan kita harus menilai keupayaan badan dan kemampuan kita.
  
  Setiap individu adalah berbeza tahap kesihatan dan keupayaan anggota tubuh badannya. Komposisi tubuh dan ketahanan badan mereka juga tidak sama dengan individu yang lain. Hal ini penting sekiranya seseorang itu menghidapi penyakit seperti kencing manis dan sebagainya. Badan seorang pesakit itu sensitif dan mudah terdedah kepada risiko kesihatan yang lain jika tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pakar. Sekiranya mereka ingin juga melakukan aktiviti senaman di bulan puasa ini adalah disarankan supaya mereka mendapatkan nasihat dan pandangan doktor untuk mengelakkan sebarang implikasi buruk. 

  Apa yang penting sekiranya kita ingin kekal cergas dan sihat di bulan puasa ini, amalan melakukan aktiviti fizikal dan senaman merupakan sesuatu yang perlu dititikberatkan selain daripada penjagaan makanan yang teratur. Sebelum melakukan sebarang aktiviti senaman kita mestilah melakukan aktiviti memanaskan badan dan menyejukkan badan selepas selesai bersenam. Amalkanlah aktiviti fizikal dan senaman sekurang-kurangnya 3 kali seminggu dan 30 minit setiap sesi. 

  Kombinasi di antara pemakanan yang sihat, aktiviti fizikal yang  bersesuaian  dan rehat yang secukupnya dapat menjadikan badan  kita  lebih  sihat  meskipun  sedang berpuasa. Ditambah pula dengan keberkatan dengan memperbanyakkan ibadah di bulan yang mulia ini, tidak mustahil kita akan lebih sihat daripada bulan-bulan lain..










 








  
Search